Arnab (rabbit) atau kelinci (hare) merupakan sejenis haiwan mamalia
yang tergolong dalam famili Leporidae yang tergolong dalam order Lagomorpha.
Arnab mudah dikenali dengan telinganya yang panjang dan tirus, gigi kacip
tengah yang ketara dalam mulut, kaki belakangnya yang besar berbanding kaki
depan, serta ekornya yang pendek. Arnab boleh hidup secara liar mahupun
dijadikan haiwan peliharaan atau ternakan yang memberikan sumber makanan kepada
manusia.
Dalam bahasa Melayu, perkataan "arnab" berasal dari bahasa Arab,
iaitu arnab ( أرنب). Perkataan
"kelinci" pula lebih banyak digunakan dalam bahasa Indonesia, dan
berasal dari bahasa Belanda, yakni istilah konijntje yang bererti
"anak arnab". Apapun, ini jelas menunjukkan bahawa
masyarakat Nusantara mula mengenali arnab atau kelinci daripada perdagangan
antarabangsa pada zaman silam, padahal di Pulau Sumatera ada satu spesies arnab
asli (Nesolagus netscheri) yang baru ditemui pada tahun 1972. Nama
saintifik famili "Leporidae" pula berasal dari perkataan lepus,
iaitu arnab dalam bahasa Latin.
Habitat
Bermacam-macam jenis arnab tinggal di kawasan padang rumput, hutan, gurun, tundra
dan tanah lembap mengikut kesesuaian dengan spesiesnya. Kebanyakan spesies
arnab tinggal dalam sarang bawah tanah yang dimasuki melalui lubang, tetapi
berbeza pula dengan arnab dalam genus Lepus yang bertempat tinggal di
atas tanah dengan kawasan rumput yang rata sebagai sarang. Kebanyakan spesies
arnab tinggal secara berkelompok.
Lebih separuh jumlah populasi arnab di dunia tinggal di Amerika Utara. Arnab
juga merupakan haiwan asli di Eropah, Asia Tenggara, Asia Timur, Afrika dan Amerika
Selatan. Arnab mula-mula memasuki Amerika Selatan kesan peristiwa Pertukaran
Besar Amerika. Sebahagian besar benua itu cuma ada satu spesies arnab, iaitu tapeti,
manakala di kawasan kerucut selatan benua itu pula tiada spesies arnab yang
asli.
Anatomi
Arnab merupakan mamalia bersaiz kecil atau sederhana, mengikut spesiesnya,
iaitu sekecil Brachylagus idahoensis yang panjangnya 25–29 cm dari
kepala hingga ekor, dan beratnya sekitar 300 gram, hingga sebesar Lepus
europaeus yang mencapai kepanjangan 50–76 cm dan berat 2.5 hingga 5
kilogram. Bulu arnab biasanya tebal dan lembut, berwarna perang, kelabu, atau kuning
pucat. Ekornya berbentuk segumpal kecil bulu berwarna keperangan (berhujung
putih bagi arnab ekor kapas). Arnab liar tidak ketara perbezaannya
dari segi kadaran tubuh atau cara berdiri, dengan tubuh badan yang montok dan
berbentuk telur.
Arnab merupakan haiwan digitigrad, iaitu berjalan secara menjengket. Arnab
mempunyai sepasang kaki belakang berjari empat yang panjang, dan kaki hadapan
berjari lima yang lebih pendek (termasuk kuku embun pada tapak kaki). Arnab
mempunyai kaki belakang yang besar dan kuat. Tapak kakinya berbulu supaya mudah
mencengkam tanah ketika berlari, apatah lagi dilengkapi kuku yang kuat di
kesemua jari kakinya.
Arnab juga terkenal dengan telinga yang panjang dan boleh digerakkan, serta
deria pendengaran yang hebat sekali. Matanya besar dan penglihatannya bagus
pada waktu malam, mencerminkan kehidupan arnab liar sebagai haiwan nokturnal
(berjaga malam) atau krepuskul (berjaga senja). Telinga arnab yang
sepanjang 10 cm (4 in) atau lebih, mungkin merupakan kesan adaptasi
untuk mengesan pemangsa.
Arnab mempunyai dua peranggu gigi acip, iaitu satu di depan dan satu lagi di
belakang. Oleh yang demikianlah arnab sebenarnya tidak tergolong dalam rodensia.
Carl Linnaeus pernah menggolongkan arnab dan rodensia dalam kelas Glires;
tetapi mereka berdua kemudian diasingkan kerana ramai sekali yang berpendapat
bahawa keserupaan sesama mereka adalah hasil evolusi tumpuan. Akan tetapi,
analisa DNA terkini serta penemuan leluhur sepunya telah menyokong hujah bahawa
arnab dan rodensia sama keturunan, oleh itu kedua-duanya sekali dianggap
tergolong dalam satu superkelas iaitu Glires.
Arnab merupakan haiwan pencerna usus belakang, yakni kebanyakan proses
pencernaan arnab berlaku di dalam usus besar dan usus buntunya. Dalam tubuh
arnab, sekum adalah 10 kali besar perut. Sekum dan usus besar membentuk kira-kira
40% saluran pencernaan arnab. Perototan sekum yang unik ini membolehkan salur
ususnya menapis bahan berserabut daripada bahan yang lebih mudah dicernakan;
bahan berserabut itu dikumuhkan dalam bentuk tinju, manakala bahan yang lebih
berkhasiat itu dibubuh dalam lapis mukus dalam bentuk sekotrop (tinja malam).
Sekotrop ini kaya dengan zat galian, vitamin dan protein yang diperlukan untuk
kesihatan arnab. Arnab memakan bahan kumuh ini untuk memenuhi keperluan
khasiatnya; lapisan mukus membolehkan khasiatnya melalui perut yang berasid
untuk dicernakan dalam usus. Proses ini membolehkan arnab menyarikan
khasiat-khasiat yang diperlukan dari makanannya.
Arnab merupakan haiwan mangsa, oleh itu ia sentiasa peka terhadap
persekitarannya. Jika berdepan dengan kemungkinan ancaman, arnab berhenti
bergerak dan memperhatikan sekitarnya, kemudian mengingatkan arnab-arnab lain
dalam sarang dengan berdetap-detup sekuat-kuatnya di atas tanah. Arnab
mempunyai medan penglihatan yang sangat luas, cukup berguna untuk mengimbas
persekitaran di atas kepalanya. Arnab terlepas dari pemangsa dengan menggali
tanah, meloncat pergi secara gerak siku keluang, dan memberikan sepakan yang
kuat dengan kaki belakang sekiranya ditangkap. Gigi yang kuat juga membolehkan
arnab menggigit musuh untuk melepaskan diri daripada pergelutan.
Evolusi
Spesies arnab tertua yang dikenal pasti setakat ini berasal
dari akhir zaman Eosen, ketika famili arnab ini sudah berada di Amerika Utara
dan Asia. Sepanjang perjalanan evolusinya, kelompok ini semakin menyesuaikan
diri dengan kehidupan berlari dan meloncat dengan pantas. Misalnya, Palaeolagus,
spesies arnab pupus dari epok Oligosen di Amerika Utara, mempunyai kaki
belakang yang lebih pendek daripada arnab zaman sekarang (menandakan bahawa ia mungkin
lebih pandai berlari daripada meloncat) tetapi selain itu sama sifatnya dengan
arnab moden.
No comments:
Post a Comment