Pembiakan
Arnab mempunyai kadar pembiakan yang besar sekali. Musim membiak bagi
kebanyakan arnab adalah 9 bulan, dari Februari hingga Oktober. Di Australia
& New Zealand, musim membiak adalah dari akhir Julai hingga akhir Januari.
Tempoh kebuntingan biasanya adalah 30 hari, ataupun lebih lama lagi bagi arnab
dalam genus Lepus. Arnab biasanya boleh melahirkan 4 hingga 12 ekor
anak, tetapi baka yang lebih besar mampu melahirkan banyak lagi arnab. Seekor
anak arnab boleh bercerai susu sebaik mencecah umur 4 hingga 5 minggu. Ertinya,
dalam satu musim, seekor ibu arnab boleh melahirkan sebanyak 800 anak, cucu dan
cicit. Arnab betina sedia membiak pada usia sekitar enam bulan, dan arnab
jantan pula sekitar tujuh bulan. Arnab mengambil masa yang sangat singkat untuk
pikat-memikat dan mengawan, iaitu selama 30 hingga 40 saat. Kelakuan arnab
ketika pikat-memikat melibatkan jilat-menjilat, hidu-menghidu, dan si jantan
mengejar si betina. Arnab juga sering menyembur kencing sebagai kelakuan
seksual. Arnab betina mungkin keguguran bulu bergumpal-gumpal sewaktu tempoh
hamil
Proses penghasilan ovum bermula 10 jam selepas mengawan. Selepas mengawan,
arnab betina membuat dan mengalas sarangnya dengan bulu dari gelambir, rusuk
dan perutnya. Kelakuan ini juga mendedahkan puting arnab betina untuk
membolehkannya menetek anak-anaknya. Dalam kebanyakan spesies, anak arnab lahir
buta, bogel, dan tidak berupaya (kecuali spesies-spesies dalam genus Lepus
dan Sylvilagus yang anaknya sudah berbulu, boleh membuka mata dan mampu
menjaga diri sebaik sahaja dilahirkan). Keimunan pasif (keimunan yang diperoleh
melalui pemindahan antibodi atau limfosit peka daripada haiwan lain) diperoleh
oleh anak arnab sebelum lahir melalui pemindahan plasenta. 10 atau 11 hari
selepas lahir, anak arnab boleh membuka mata, kemudian ia boleh makan sendiri
sekitar usia 14 hari.
Walaupun bogel ketika lahir, namun bulu anak arnab mula tumbuh dalam masa
beberapa hari sahaja. Pada umur 5 hingga 6 minggu, bulu anak arnab yang lembut
ini diganti dengan bulu pra-dewasa. Sekitar umur 6 hingga 8 bulan, bulu
pertengahan ini diganti pula dengan bulu dewasa sepenuhnya, selepas itu arnab
bersalin bulu dua kali setahun. Oleh sebab susu arnab sangat berkhasiat, anak
arnab hanya perlu ditetek selama beberapa minit, sekali atau dua kali sehari. Jangka hayat arnab adalah kira-kira 9–12 tahun; arnab yang paling panjang
usia di dunia mencapai 18 tahun.
Pemakanan
Hampir semua arnab merupakan haiwan maun (kecuali beberapa spesies Lepus),
yang gemar meragut rumput, herba, dan rumpai berdaun, tetapi juga memakan
buah-buahan dan biji-bijian. Oleh itu, diet arnab mengandungi jumlah selulosa
yang banyak dan sukar dicernakan. Masalah ini diselesaikan dengan mengumuhkan
dua jenis tinja yang berbeza, iaitu tahi keras dan biji-biji hitam lembut likat
yang dimakan segera. Arnab memakan semula bahan buangannya sendiri (tidak mengunyah
mamahan seperti yang dilakukan oleh lembu dan haiwan maun yang lain) untuk
mencernakan lagi makanannya serta memperoleh khasiat yang mencukupi.
Sama seperti rodensia (tikus dan sebagainya), arnab mempunyai sepasang gigi
acip depan yang kuat, tetapi juga dilengkapi sepasang lagi gigi acip di
kedua-dua belah gigi besar pada rahang atas, apatah lagi struktur giginya
berbeza daripada gigi acip rodensia. Sama dengan rodensia juga, arnab tiada gigi
taring, tetapi pipinya lebih berisi daripada rodensia. Arnab meragut dengan sekuat-kuat dan secepat-cepatnya pada separuh jam
pertama waktu meragut (biasanya pada lewat petang), diikuti pemakanan yang
lebih berpilih pada separuh jam seterusnya. Pada waktu ini, arnab juga
mengumuhkan biji-biji tahi yang keras dan tidak dimakan semula. Jika
persekitarannya tidak begitu mengancam, arnab boleh berada di luar sarang
berjam-jam lamanya, dan sekali-sekala meragut makanan. Ketika di luar sarang,
adakalanya arnab memakan semula biji-biji kumuhan lembut yang separa tercerna.
Kelakuan ini jarang dapat diperhatikan kerana biji-biji tersebut dimakan semula
sebaik sahaja dikumuhkan. Pemakanan semula ini paling biasa berlaku
sekejap-sekejap dalam sarang dari pukul 8 pagi hingga 5 petang.
Bijian keras terbentuk daripada cebisan kulit ari dan tangkai tumbuhan yang
seakan rumput kering, iaitu hasil buangan akhir selepas bijian lembut dimakan
semula. Tahi keras ini hanya dikumuhkan di luar sarang dan tidak dimakan balik.
Tahi lembut biasanya dihasilkan beberapa jam selepas meragut rumput, iaitu
selepas semua tahi keras dikumuhkan. Tahi lembut ini terdiri daripada
mikro-organisma dan dinding sel tumbuhan yang tak tercerna.
Bahan tumbuhan yang terkunyah berkumpul dalam sekum besar, sebuah kebuk
sekunder di antara usus besar dan kecil yang berisi sejumlah besar bakteria
simbiosis yang membantu pencernaan selulosa serta menghasilkan vitamin B
tertentu. Biji tahi ini terdiri daripada 56% bakteria pada berat kering, dan
oleh itu mengandungi purata 24.4% protein. Biji-biji ini kekal utuh selama enam
jam dalam perut, sementara bakteria dalamnya terus mencernakan karbohidrat
tumbuhan. Tahi lembut terbentuk di sini dan mengandungi vitamin yang sebanyak
lima kali ganda dalam tahi keras. Selepas dibuang, tahi lembut itu dimakan
bulat-bulat oleh arnab dan dicernakan semula di dalam perut. Proses pencernaan
berganda ini membolehkan arnab menggunakan khasiat yang mungkin terlepas
olehnya ketika mula-mula melalui usus, dan juga khasiat-khasiat yang terbentuk
daripada kegiatan mikrob untuk memastikan supaya arnab memperoleh khasiat yang
secukupnya daripada pemakanannya. Proses bagi arnab ini sama tujuannya dengan peruminatan
bagi lembu dan kambing.
Arnab tidak boleh muntah kerana dilarang oleh fisiologi sistem pencernaannya.
No comments:
Post a Comment