Arnab sebagai haiwan belaan
Arnab juga terkenal sebagai haiwan belaan yang boleh tinggal dalam rumah.
Arnab dalam rumah biasanya dikurung dalam petak atau sangkar, ataupun
diletakkan dalam tempat yang selamat untuk berkeliaran atau bersenam, seperti
ruang tamu. Arnab boleh dilatih untuk menggunakan kotak jerami (untuk membuang
air) ataupun menyambut panggilan orang. Arnab bela jinak yang tidak tinggal
dalam rumah pula biasanya ditempatkan dalam sangkar di luar rumah. Ada arnab
belaan yang tinggal dalam sangkar di luar pada waktu siang untuk mendapatkan
udara segar dan cahaya matahari, kemudian dibawa masuk pada waktu malam. Arnab
dalam genus Lepus jarang sekali dijadikan haiwan belaan.
Tak kira di dalam atau di luar, kurungan arnab biasanya dimeriahkan dengan
alat-alat seperti para, terowong, bola, dan mainan. Arnab belaan juga diberikan
ruang tambahan untuk bersenam, untuk meniru ruang terbuka yang direntasi oleh
arnab liar. Petak bersenam juga digunakan sebagai tempat yang selamat untuk arnab
berkeliaran. Makanan arnab belaan biasanya terdiri daripada rumput Timothy yang tak
terhingga, sedikit makanan biji, dan sedikit sayur-sayuran segar. Arnab
memerlukan bekalan air segar yang bersih dan tak terbatas. Arnab ialah haiwan
sosial yang boleh mencari teman dengan pelbagai jenis haiwan, termasuk manusia,
arnab lain, tikus belanda ataupun kucing dan anjing. Pertubuhan kebajikan
haiwan seperti House Rabbit Society mengesyorkan agar arnab tidak dijadikan
haiwan belaan kanak-kanak kecil kerana kanak-kanak pada usia ini biasanya sukar
berdiam diri, bertenang dan berlemah-lembut ketika bersama arnab. Sebagai
haiwan mangsa, arnab merupakan haiwan yang sentiasa berjaga-jaga dan mudah
terkejut. Tulang arnab rapuh sekali, khususnya di bahagian belakang, oleh itu
arnab perlu didukung pada perut dan punggungnya apabila diangkat. Kanak-kanak
berusia tujuh tahun ke atas biasanya cukup matang untuk menjaga arnab.
Arnab sebagai sumber makanan dan pakaian
Selain menjadi haiwan peliharaan, arnab juga diternak untuk daging sebagai
makanan manusia, terutamanya di Eropah, Amerika Utara dan Selatan, dan Timur
Tengah. Daging arnab masih dijual dalam pasar dan kedai daging di United
Kingdom, tetapi bukan dalam pasar raya, sebaliknya lebih tertumpu di pasar tani
dan juga Borough Market yang terkenal di London, di mana bangkai arnab
diperagakan di khalayak umum secara tergantung bersama burung kuang dan haiwan
buruan yang lain. Daging arnab pernah dijual secara besar-besaran di
Sydney, Australia, tetapi kini sudah berkurangan ekoran penyakit miksomatosis
yang diperkenalkan di negara itu untuk cuba menghapuskan populasi arnab buas. Daging arnab diperoleh dengan memburu atau menternak. Jerat dan senjata
berapi digunakan untuk menangkap arnab liar untuk dimakan. Di merata tempat,
arnab juga diternak untuk dagingnya, kemudian disembelih dengan menghentak
belakang kepalanya. Daging arnab merupakan sumber protein yang bermutu tinggi,
dan boleh digunakan dalam sebanyak cara yang boleh seperti daging ayam.
Sebenarnya, seorang tukang masak terkenal, Mark Bittman berkata bahawa daging
arnab ternak sama rasanya dengan ayam kerana kedua-dua dagingnya ibarat palet
kosong yang boleh dilapisi dengan mana-mana perisa yang disukai. Daging
arnab lebih pejal daripada daging lembu, babi dan ayam.
Penggunaan arnab sebagai sumber makanan berdaging dibelenggui beberapa
masalah, antaranya termasuk: tularemia (“demam arnab”), dan juga “kebuluran
arnab” yang mungkin sekali disebabkan oleh kekurangan asid lemak penting dalam
daging arnab. Arnab juga menjadi makanan kegemaran ular sawa besar, seperti
ular sawa Burma dan ular sawa rendam, baik di alam liar mahupun dalam kurungan. Pemakanan arnab adalah terlarang dalam agama Yahudi kerana meskipun
mengunyah mamahannya, namun kukunya tidak berbelah, seperti yang ditetapkan
oleh kitab Imamat dan kitab Ulangan dalam Alkitab Ibrani.
Bulu arnab adakalanya digunakan untuk membuat pakaian dan perhiasan diri,
seperti skaf dan topi. Arnab Angora diternak untuk bulunya yang panjang dan
halus dan boleh dicukur seperti bulu biri-biri. Arnab juga bagus untuk
menghasilkan tahi dan kencing yang penuh dengan nitrogen, untuk meningkatkan
daya pengeluaran pokok lemon. Susu arnab juga memberikan faedah perubatan dan
khasiat kerana kekayaan kandungan proteinnya.
Masalah alam sekitar
Arnab menjadi punca masalah alam sekitar apabila dilepaskan ke alam liar
oleh manusia. Disebabkan kekuatan selera dan kadar pembiakannya, penjarahan
arnab liar mendatangkan masalah kepada para petani. Pelbagai cara telah
digunakan untuk membendung populasi arnab, seperti menyembur gas, membina
pagar, menembak, menjerat, dan membela feret sebagai pemangsa, namun cara-cara
yang paling berkesan ialah penciptaan penyakit miksomatosis dan kalisivirus. Di
Eropah, di mana arnab diternak secara besar-besaran, arnab dilindungi daripada
ancaman miksomatosis dan kalisivirus dengan sejenis virus terubah suai secara
genetik yang dibangunkan di Sepanyol. Di Australia dan New Zealand, arnab dipandang
sebagai haiwan perosak sehingga tuan tanah diwajibkan oleh undang-undang untuk
mengawalnya.
No comments:
Post a Comment